Thursday, January 8, 2009
Keterangan Hadis Bhg 1
Penerangan Hadis: Barangsiapa yang menyakiti Wali-Ku, maka sesungguhnya Aku mengisytiharkan perang kepadanya. Wali menurut bahasa ertinya qarib yakni dekat. Jadi Wali Allah ialah orang yang sentiasa bertaqarrub (mendekatkan dirinya) dengan Allah. Dan atas sebab maka itulah Imam An Nawawy mengertikan Wali Allah disini ialah orang yang beriman (mukmin). Jadi mukmin yang tekun beribadat lagi tabah dalam mentaati Allah, melaksanakan suruhan-Nya dan menjauhkan dirinya daripada maksiat serta tidak terlalu mementingkan kesedapan duniawi, inilah yang disebut dengan Wali Allah. Golongan inilah yang cuba dijelaskan oleh Rasulullah kepada Saidina Omar Ibnu Al Khattab RA dalam dialog mereka: Rasul: Para Nabi dan para syuhada akan cemburu kepada segolongan hamba Allah kelak diakhirat kerana kedudukan mereka yang tinggi di sisi Allah padahal mereka bukan para Nabi. Omar: Siapakah mereka wahai Rasul? Rasul: Mereka ialah satu kaum yang saling mengasihi sesama mereka semata-mata kerana Allah, bukan kerana hubungan silaturrahim atau kerana harta. Demi Allah, sesungguhnya wajah mereka bercahaya, mereka memiliki beberapa mimbar yang bercahaya. Mereka tidak takut dikala manusia lain merasa takut, dan mereka tidak sedih dikala manusia lain merasa sedih. Lalu Rasulpun membaca ayat 62-63 dari surah Yunus: (Maksudnya: Ingatlah, sesungguhnya Wali Wali Allah itu tidak ada kekhawatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati. (Iaitu) orang-orang yang beriman dan mereka selalu bertaqwa.) Berdasarkan ayat dan hadis diatas dapatlah disimpulkan: Syarat utama untuk menjadi Wali Allah: Iman dan Taqwa Wali Allah sangat tinggi darjatnya disisi Allah. Atas sebab inilah jika sesiapa yang memusuhi Wali Wali Allah iaitu mukmin yanq bertaqwa maka itu bererti ia memusuhi Allah dan Allah maklumkan perang kepada orang tersebut. Setelah Allah swt menjelaskan amaran-Nya terhadap orang yang memusuhi dan membenci Wali-Nya, lalu selanjutnya Allah menyebut pula beberapa sifat yang dimiliki oleh Wali-Nya yang kerana sifat-sifat itulah menjadikan mereka hampir dengan-Nya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment